Saturday, February 4, 2012

Dr Hasan Ali Tekad Tidak Rayu Sertai PAS Semula




AIDCNews – 04/02/12 – Datuk Dr Hasan Mohamed Ali hari ini menegaskan bahawa beliau tidak akan membuat rayuan untuk menyertai semula PAS.
Hasan yang dipecat daripada PAS pada 8 Januari lalu tetap dengan prinsipnya tidak akan membuat rayuan kerana menyifatkan pemecatannya dibuat secara autokratik dan tidak demokratik.
“Setelah merenung berbagai sudut termasuk kepraktikalan gerak kerja saya seterusnya dan yang paling penting setelah beristikharah telah membawa saya membuat keputusan untuk tidak membuat rayuan.
“Sabaliknya saya membantah keputusan pemecatan saya yang bersifat arbitrari (tidak berasas) dan dilakukan mengikut selera parasit-parasit yang sememangnya bagitu bernafsu untuk melihat saya tidak lagi berada dalam saf kepimpinan parti,” katanya dalam sidang akhbar di rumahnya, Taman Dun Dr Ismail, seperti dilaporkan Mstar
Selepas dipecat, Hasan diberi tempoh sehingga Selasa ini sebagai tarikh akhir membuat rayuan.
Menurutnya keputusan itu dibuat berdasarkan beberapa faktor termasuk keghairahan sesetengah pemimpin PAS bersekongkol dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP demi untuk menjayakan sasaran menawan Putrajaya.
“Kerap kali saya mencadangkan supaya PAS mengkaji semula kedudukannya dalam Pakatan Rakyat. Ini berikutan dengan pendekatan yang diambil oleh parasit dalam PAS hingga melampaui hal-hal yang berkaitan dengan dasar parti yang terpaksa dikorbankan untuk menjaga kepentingan DAP dan PKR.
“Dalam banyak hal saya dapati pimpinan parasit dalam PAS lebih gemar mendengar pandangan daripada DAP dan PKR berbanding daripada wakil partinya sendiri dalam hal pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor,” katanya.
Hasan yang turut dilucutkan jawatan Exco Hal Ehwal Islam Selangor pada 13 Januari lalu turut menyatakan bahawa sehingga kini beliau tidak menerima sebarang pertuduhan berhubung pemecatannya.
“Saya tidak pernah menerima surat, pesanan ringkas (SMS) atau panggilan telefon meminta saya hadir khusus untuk memberi keterangan terhadap apa-apa pertuduhan (sekiranya ada) yang dikenakan terhadap saya,” katanya.
72 Peratus PAS Dikuasai Sekular
Sementara itu pada 3 Februari, semasa berceramah di Bukit Naning, Johor, Hasan mendedahkan 72 peratus kepimpinan PAS kini dikuasai oleh golongan sekular yang sanggup ‘tidur sekatil’ dengan DAP dan PKR.
Katanya, golongan itu sanggup mengenepikan perjuangan asal PAS untuk menyokong Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bercita-cita mahu menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum Ke-13.
Dalam ceramah yang dihadiri kira-kira 3,500 orang itu, Hasan turut mendedahkan bagaimana kepimpinan Pas cuba memujuknya supaya berlembut dan mengikut sahaja arahan pakatan pembangkang yang tidak setuju dengan tindakannya membanteras gerakan mengkristiankan orang Islam di Selangor.
“Mereka minta saya bersabar dengan mengatakan apabila sudah dapat tawan Putrajaya, waktu itulah baru dikuatkuasakan undang-undang Islam,” katanya seperti dilaporkan Bernama.
Katanya, pakatan pembangkang tidak mahu mendengar perkataan Islam, Melayu dan Raja serta mereka akan mendidik anak-anak dengan didikan secara liberal jika diberi peluang memerintah.

No comments:

Post a Comment