Tuesday, February 14, 2012

Kata Dua Nik Aziz Kepada Anwar Bersifat Kepentingan Politik


Kata Dua Nik Aziz Kepada Anwar Bersifat Kepentingan Politik

KUALA LUMPUR 14 Feb – Gesaan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat supaya Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menarik balik kenyataannya yang menyokong Israel seperti yang dilaporkan media, lebih bersifat sebagai kenyataan politik.
Exco Wanita UMNO, Suraya Yaacob berkata apa yang dilakukan oleh Nik Aziz itu lebih menjurus untuk menyelamatkan diri serta partinya daripada terus dibidas berhubung kenyataan itu kerana Pas adalah rakan sekutu pakatan pembangkang yang diketuai Anwar.
“Mengapa sekarang baru Nik Aziz menyuruh Anwar menarik balik kenyataan itu, sedangkan perkara itu sudah lama menjadi topik hangat termasuk di negara jiran, apakah gesaan itu menjurus kepada kepentingan politik.
“Nik Aziz sebenarnya terpaksa melakukan itu kerana menyedari kenyataan Anwar itu telah menimbulkan pelbagai masalah di kalangan orang Melayu dan Islam di negara ini termasuk di kalangan penyokong Pas.
“Sepatutnya sudah lama Nik Aziz melakukannya, jika dia benar-benar ikhlas sudah lama dia membuat teguran kepada Anwar, mengapa sekarang, ini jelas menunjukkan Nik Aziz terpaksa melakukan apabila menyedari kenyataan itu memberi kesan sokongan rakyat terhadap partinya,” katanya kepada UMNO-online.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan media bahawa Nik Aziz sudah pun menghantar surat kepada Anwar supaya menarik balik kenyataan itu selepas dipersetujui oleh Majlis Syura yang diketuai olehnya.
Suraya yang juga Adun Sungai Tiang, menyifatkan gesaan Nik Aziz itu dilihat seperti tidak sepenuh hati kerana berdasarkan kenyataan itu beliau masih menyalahkan pihak media yang dikatakan tersalah lapor terhadap apa yang diucapkan.
“Nik Aziz dan Anwar menjawat jawatan yang  dilantik, sebab itu mereka sesuka hati membuat kenyataan tanpa memikirkan kesannya, kerana jawatannya tidak melalui proses pemilihan seperti jawatan lain dalam parti mereka.
“Jangan pula hairan dengan apa yang dibuat oleh Nik Aziz itu jika dalam tempoh terdekat nanti dia bertukar nada, seperti yang kita ketahui Nik Aziz sering membuat kenyataan yang tidak konsisten hanya untuk kepentingan peribadi dan politik,” katanya.
-MediaUMNO

No comments:

Post a Comment